Saturday, March 5, 2011

Dengki

assalamualaikum kepada para followers dan juga readers yang setia membaca segala entry yang dicoretkan dalam blog ini.kali ini nak sentuh sedikit tentang satu perkara yang boleh memusnahkan kehidupan orang lain.iaitu perasaan hasad dengki seseorang kepada orang lain.


yea perasaan dengki ini sangat merbahaya.bila datang perasaan hasad dengki itu,buanglah jauh jauh dari dalam diri.kerana secara tidak langsung,kita akan melakukan perkara diluar jangkaan tanpa kita sedari kerana perasaan hasad dengki yang ada dalam diri.


Dalam diri manusia terdapat seketul daging jika baik daging itu maka baiklah seluruh anggotanya dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh seluruh anggota yang lain, maka seketul daging itu adalah hati.

Hati memainkan peranan penting dalam tubuh badan manusia kerana elok hati maka eloklah manusia itu. Jika kotor hati maka buruklah akhlak manusia itu. Oleh itu hati perlu dibersihkan selalu. Apabila hati sihat maka rohani akan sihat.

Allah tidak melihat manusia berdasarkan paras wajah yang cantik atau tampan. Allah tidak juga melihat akan kehebatan atau terkenalnya manusia itu dalam masyarakat atau negara. Tetapi yang akan dilihat oleh Allah S.W.T adalah pada hati-hati manusia.

Sabda Rasulullah S.A.W daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badanmu, rupamu, tetapi langsung melihat kepada hati dan perbuatanmu.” 
(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)"


Oleh itu Allah sangat membenci orang yang membutakan hatinya. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami jadikan sebagai isi Neraka Jahanam kebanyakan di antara jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat Allah. Dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah. Dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.”  
(Surah al-Araf, ayat 179)

Orang yang disebut Allah dalam firman-Nya itu ternyata rohaninya (hatinya) tidak sihat dan tentunya berpenyakit. Apabila rohani berpenyakit maka berlakulah sifat bertentangan tuntutan agama dan lebih buruk lagi boleh mengakibatkan manusia itu ingkar kepada Allah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu Allah menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta.” 
(Surah al-Baqarah ayat 10)

Salah satu penyakit rohani yang cukup akrab menghinggapi orang Islam ialah penyakit hasad dengki. Penyakit ini adalah sifar mazmumah yang boleh menjadi sebagai kaya bakar yang akan membakar (menghapuskan) amal-amal soleh seseorang.

Sifat hasad dengki  adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, iaitu sehingga musuhnya jatuh gagal dan tewas.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ".. ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberika Allah kepadanya? Sungguh , Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepada mereka kerjaan (kekuasaan yang besar)." 
(Surah an-Nisa' ayat 54)

Asbabun Nuzul surah an-Nisa' ayat 54. 
Ibnu Abbas r.a menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan kaum Nasrani dan Yahudi yang suatu ketika berkata : "Muhammad menganggap dirinya telah diberi kenabian, kemenangan dan al-Quran dengan sifat tawaduk, sedangkan ia suka wanita. Maka raja manakah yang lebih utama daripada dia? 
(Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim)

Terdapat 10 perkara yang boleh mengubati hati yang mempunyai hasad dengki. Perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Ilmu yang bermanfaat

Kerana hakikat ilmu yang bermanfaat akan mencegah pelakunya dari mewujudkan hasad dengki. Dia akan menyadari bahwa hasad dengki hanya akan membahayakan dunia dan agamanya. Bahaya bagi agamanya kerana dengan hasad dengki dia akan menentang takdir Allah. Bahaya bagi dunianya, kerana  hati orang yang hasad dengki akan merasa pedih dan sakit apabila  melihat orang yang dia dengki mendapat nikmat. Carilah ilmu yang bermanfaat yang menerangi jalan kehidupan  yang akan  mencegah dari kesalahan. Kemudian amalkanlah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :
“ Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah kami berikan kepadanya ayat-ayat kami (Pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh setan (sampai dia tergoda). Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan kalau kami menghendaki, sesungguhnya kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan memperturutkan hawa nafsunya yang rendah. (Surah al-A’raf  ayat 175-176)

2.Bertaubat kepada Allah S.W.T.

Bertaubat kepada Allah S.W.T. boleh menghapuskan dosa seseorang. Taubat nasuha dan menyesali akan dosa  kerana hasad dengkinya,  meninggalkan dan bertekat untuk tidak mengulanginya kembali di masa akan datang. Apabila  penyakit ini datang  ia bersegeralah minta ampun kepada Allah S.W.T. semoga Dia mengampunkan dosa-dosanya.

3. Berfikir positif dan merenungi akibat keburukan hasad dengki.

Apabila kita memikirkan bahawa betapa besarnya dosa hasad dengki ini dan balasan yang dahsyat akan diberikan oleh Allah S.W.T kepada  sesiapa yang berhasad dengki ketika di dunia, maka perasaan ini boleh menjadi motivasi untuk dijauhi penyakit ini. 

4. Menerima takdir Allah S.W.T. dengan lapang dada.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :
“Terimalah apa yang Allah berikan padamu, nescaya engkau menjadi manusia yang paling kaya."

Imam Ibnu Sirin  mengatakan : “ Aku tidak pernah hasad kepada seorangpun dalam urusan dunia, kerana apabila ia ahli syurga, bagaimana mungkin aku hasad padanya dalam urusan dunia yang itu tidak ada nilainya di syurga nanti. Apabila ia termasuk ahli neraka , maka bagaimana mungkin pula aku hasad padanya dalam urusan dunia sedangkan dia akan masuk neraka?

5. Doakan saudara kita.

Apabila hati kita dijangkiti hasad dengki, maka doakanlah kebaikan pada orang yang kita dengki semoga ia dirahmati Allah, kerana doa akan menimbulkan keajaiban, merubah keadaan yang buruk menjadi baik. Pertanda bahwa diri kita  tidak ada hasad dengki dan tidak ada tujuan kecuali kebaikan bagi saudara kita.

6. Mencintai saudara sesama muslim semata-mata kerana Allah.

Cintailah saudara kita  kerana Allah, mulakan dengan menyanyakan kabar kepada dirinya, agar hasad dengki dalam jiwa kita hilang dan orang yang kita ingin berhasad dengki menjadi orang yang kita berbaik dengannya. Kerana apabila seorang  sudah menjadi sahabat kita maka mudah untuk kita mencintainya, dengan ini perasaan hasad dengki akan berkurang dan hilang. 

Cubalah, berkemungkinan cara ini agak sukar akan tetapi mujarab. Ingatlah selalu firman Allah yang berbunyi :
“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

7. Menziarahi saudara sesama muslim.

Menziarahi seorang muslim terhadap saudaranya boleh melahirkan kasih sayang.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :
“ Barang siapa yang menjenguk orang sakit, atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka dia akan dipanggil dari atas langit : Semoga engkau menjadi baik, baik pula perjalananmu dan engkau meraih kedudukan di syurga.”

8. Jangan diam dari kemungkaran.

 Apabila di dalam satu majlis, jika ada saudara kita yang menceritakan mengenai keburukan saudara kita yang lain kerana perasaan hasad dengki maka kita perlu bela dan tidak boleh berdiam diri. Beritahu pada orang yang mempunyai hasad dengki itu supaya menyedari akan perbuatannya itu adalah berdosa semoga dengan tindakkan kita ini boleh menghilangkan perbuatan hasad dengki tersebut.

9.Mengutamakan orang lain.

Apabila kita mengetahui ada seseorang yang berhasad dengki dengan kita, dan kita berjumpa disatu majlis maka kita perlu mulakan dahulu dengan memberi salam dan menyanyakan khabar beritanya, supaya dengan sikap kita yang berbaik-baik dengannya boleh mengurangkan perasaan tersebut yang ada pada dirinya.

10.Minta nasihat darinya. 

Secara hikmahnya  kita cuba minta nasihat daripada orang yang suka berhasad dengki dengan kita supaya dengan sikap kita yang berbaik-baik dengannya akan menghilangkan perasaan tersebut .

Ibnu Abbas r.a  berkata : “Tiga perkara yang aku tidak dapat membalasnya kecuali doa : 1. Seorang yang masuk menemuiku dalam suatu majlis, dia berdiri dengan senyum dan gembira. 2. Seorang yang memberi kelapangan kepadaku dalam majlis. dan 3. Seorang yang tertimpa masalah, kemudian dia minta pendapatku. Mereka adalah orang-orang yang aku tidak dapat membalas kebaikannya kecuali dengan doa.”

Demikianlah sedikit pembahasan masalah hasad dengki. Kita berlindung kepada Allah S.W.T. agar terhindar dari keburukan sifat hasad dengki sesama muslimdan Allah S.W.T. 

Marilah sama-sama kita menjauhkan sifat hasad dengki kerana sifat ini menyebabkan kita akan jauh daripada rahmat Allah S.W.T dan dekat dengan azab-Nya. Salah satu sifat ahli neraka adalah semasa di dunia suka berhasad dengki dan tidak suka kepada nikmat Allah S.W.T yang diberikan  kepada hamba-hamba-Nya yang lain.





Terima kasih atas kesudian membaca entry saya.Like jika suka entry ini.

No comments: