assalamualaikum
kat sini nak bagi sedikit tazkirah tentang kesabaran.iye,kebanyakkan orang tidak mempunyai kesabaran dengan musibah yang menimpa dirinya.selalu sahaja dirinya dibiarkan perasaan amarah itu menguasai dirinya dan secara tidak sedar mereka melakukan perkara diluar kawalan.tazkirah ini adalah untuk peringatan terhadap diri saya yang juga tidak terlepas dari semua perkara itu kerana saya juga seorang manusia yang biasa.
ini adalah sedikit kajian yang dilakukan oleh saya.jadi mari kita lihat.
Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan dapat lari daripada menerima qada’ dan qadar Allah Subhanahu Wataala seperti musibah-musibah yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan sebagai cabaran dan ujian dari Allah S.W.T dan harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155:-
Tafsirnya:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan, dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi musibah seperti sakit amat perlu dalam diri seorang hamba Allah. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang redha terhadap qada’ dan qadar Allah S.W.T, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita dari bersikap marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi musibah yang dialami. Ketahuilah sesungguhnya Allah S.W.T mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka. Sebagaimana firmannya dalam Surah Ali 'Imran, ayat 146:-
Tafsirnya:
Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.
Sebagai contoh kita renung dan ambil iktibar betapa tingginya kesabaran Nabi Ayub A.S ketika menerima ujian dari Allah S.W.T ditimpa sakit yang amat berat di mana kulit tubuhnya hancur dimakan oleh ulat-ulat.Sungguhpun demikian keadaannya, Nabi Ayub A.S tetap sabar menerima segala ujian Allah S.W.T itu, bahkan tetap tekun beribadah kepada Allah S.W.T. Sedangkan sebelum itu pun Nabi Ayub A.S telah menerima ujian dengan kematian semua anak-anaknya dan semua hartanya habis hangus terbakar.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T telah mengingatkan di dalam Al-Quran sebagaimana firmannya dalam Surah Al-Mu’min, ayat 60:-
Tafsirnya:
Dan tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu.
Oleh itu jika kita ditimpa musibah, maka bersabarlah dan berdoa dan bermohonlah kepada Allah S.W.T kerana kepada Allah S.W.T sahajalah sebaik-baik tempat memohon pertolongan. Di samping berdoa dan memohon kepada Allah S.W.T, kita juga seharusnya berikhtiar dan berusaha dalam mencari jalan penyelesaian. Dan bagi meringankan bebanan kesakitan yang ditanggung, kita bolehlah mengadu kepada keluarga dan sahabat tetapi bukan dengan perasaan marah dan rasa tidak puas hati dan kecewa seolah-olah tidak redha dengan qada’ dan qadar Allah S.W.T.
Perlu juga diingat, bahawa apabila menghadapi kesengsaraan atau kesakitan yang amat sangat, janganlah mudah kecewa dan putus asa sehingga mahu mati cepat agar terlepas dari menanggung siksa dan kesakitan. Rasulullah S.A.W telah menyatakan dalam hadith baginda:-
Maksudnya:
Dari Anas bin Malik Radiallahu-Anhu, sabda Rasulullah S.A.W sekali-kali kamu tidak boleh mengharapkan kedatangan mati kerana suatu kesukaran yang menimpa. Dan jika terpaksa mengharapkan kematian, maka hendaklah ia berkata: Ya tuhanku, berikanlah aku kehidupan jika ia lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika ia lebih baik bagiku.
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Sesungguhnya sakit yang ditimpakan ke atas kita bukanlah bertujuan untuk menyusahkan kita tetapi disebaliknya menpunyai hikmah yang tersirat, ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:-
Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, dari Nabi S.A.W bersabda: tidak satu musibah pun yang menimpa diri seorang muslim, sama ada yang berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan kedukaan, ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang menyucuk kakinya (anggotanya) melainkan dihapuskan oleh Allah dengan itu sebahagian dari kesalahannya.
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Kita perlu akur bahawa sebagai manusia, kita sememangnya pelupa dan mudah lupa diri terutama dikala senang dan mewah, tetapi sebaliknya mudah ingat Allah S.W.T, saudara mara, sahabat dan kawan-kawan apabila berada dalam kesusahan, penderitaan dan kesakitan. Oleh yang demikian semasa sakit, kita digalakkan supaya bertaubat, membanyakkan berzikir, berdoa dan beristighfar minta ampun kepada Allah S.W.T atas apa yang telah berlaku dari kesilapan dan kelalaian yang telah dilakukan. Selain itu kita juga digalakkan untuk mengingati mati, sentiasa berbaik sangka kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengerjakan sembahyang lima waktu walaupun ketika sakit selagi tiada azur syarie.
Manakala apabila kita sakit, kita hendaklah berikhtiar untuk berubat asalkan bukan dari benda-benda haram kerana setiap penyakit itu ada obatnya. Perkara ini ada dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda:-
Maksudnya:
Dari Thariq bin Suwaid Al-Ju’fi, bahawasanya ia betanya kepada Nabi S.A.W tentang khamar. Lalu Nabi S.A.W melarangnya atau baginda benci membuatnya (khamar itu). Maka berkata Thariq: “ Aku membuat khamar itu semata-mata untuk obat.” Nabi S.A.W menjawab: “Sesungguhnya itu bukan obat, tetapi adalah penyakit.”
(Riwayat Al-Imam Muslim).
Sebagai hamba Allah yang beriman, kita hendaklah bersabar dan tabah menghadapi ujian yang menimpa ke atas kita kerana semua itu adalah kuasa dan qada’ dan qadar Allah S.W.T sebagai peringatan kepada hamba-hambanya supaya tidak terus lalai dan leka dalam kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan Allah S.W.T untuk sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayat serta memberikan perlindungan kepada kita semoga selamat di dunia dan di akhirat, Amin Ya Rabbal-'Aalamin.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 177:-
Tafsirnya:
Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan Fi Sabilillah. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.
Dalam Al-Quran telah pun banyak kali menyatakan tentang erti kesabaran ketika menghadapi musibah.sabar itu penting dalam menjalani ujian Allah kerana Allah ingin menguji iman dan mendidik setiap makhlukNya untuk terus berada dilandasan yang benar selain untuk merenung kebesaran Allah S.W.T.Astafirullahalazim,sayangnya Allah kat diri kita ini.sedarlah wahai rakan dan sahabat ku sekalian akan hakikat ini.
Allah menguji kita bukan kerana tidak sayang,tapi kerana sayangkan kita,Allah menurunkan musibah yang bersesuaian dengan makhlukNya untuk menghapuskan dosa-dosa yang lampau.sedarkah kita betapa besarnya kasih sayang Allah S.W.T itu terhadap makhlukNya?
sesungguhnya aku kekurangan kesabaran dalam menghadapi musibah ini ya Allah.terima kasih kerana mengingatkan daku tentang setiap musibah tersirat hikmah disebaliknya.ye daku tahu,pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 216,
ertinya:
dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 2:216) |
sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
Ya Allah,aku memohon kepadaMu ya Allah,kurniakanlah aku kesabaran dalam menempuhi ujianMu ini ya Allah.kurniakanlah aku kesabaran seperti mana Rasulullah S.A.W bersabar ketika berdakwah dengan orang kafir ya Allah.tabahkanlah hati daku ini dalam menerima apa yang terjadi ya Allah.sesungguhnya daku hanyalah manusia biasa yang hina dipandanganMu ya Allah.seandainya terputusnya hubungan silaturahim antara aku dan dia itu adalah ujianMu ya Allah,daku redha dengan ketentuanMu ya Allah.semoga Kau gantikanlah sesuatu yang lebih baik untuk daku mengubati kekecewaan serta mengisi kekosongan ini ya Allah.Daku pasrah dengan qada dan qadar Mu ya Allah.sesungguhnya kepada Engkaulah tempat untuk aku berdoa dan mengadu segala rintihan hati ini ya Allah.sesungguhnya Engkau maha mendengar lagi maha mengasihi.amin.
No comments:
Post a Comment